KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus merosot untuk hari keempat berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang tertinggi dalam tempoh tujuh bulan, meskipun sejajar dengan unjuran pasaran.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.4350/4395 berbanding dolar AS, berbanding 4.4300/4355 pada penutupan sebelumnya.
Berdasarkan laporan terkini, IHP AS bagi November meningkat sebanyak 2.7 peratus, lebih tinggi daripada kenaikan 2.6 peratus yang dicatatkan pada Oktober. Sementara itu, IHP teras kekal pada 3.3 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, menandakan kadar inflasi yang masih tinggi di negara itu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata inflasi yang stabil pada tahap tinggi mungkin memberi kesan kepada strategi pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) pada tahun depan.
"Ini berkemungkinan menyebabkan penurunan kadar faedah menjadi lebih perlahan atau mungkin tiada penurunan langsung. Situasi ini memberikan sokongan kuat kepada dolar AS, sekali gus mengekalkan ringgit dalam julat dagangan semasa," katanya kepada Bernama.
Selain itu, ringgit turut mencatatkan penyusutan berbanding mata wang utama lain.
Ringgit melemah berbanding pound British kepada 5.6591/6648 daripada 5.6389/6459, turun berbanding euro kepada 4.6612/6659 daripada 4.6515/6573, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9074/9106 berbanding 2.9013/9051 pada penutupan semalam.
Di rantau ASEAN, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah. Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3008/3044 daripada 3.2937/2980, berkurang berbanding baht Thailand kepada 13.1058/1261 daripada 13.0640/0875, dan lemah berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.62 daripada 7.59/7.61 sebelumnya.
Namun, ringgit mencatatkan sedikit pengukuhan berbanding rupiah Indonesia, naik kepada 278.1/278.5 daripada 278.2/278.7 sebelumnya.