Ringgit diunjur RM4.42 hingga RM4.43 sedolar AS minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur RM4.42 hingga RM4.43 sedolar AS minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam julat RM4.42 hingga RM4.43 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini dalam persekitaran sentimen berhati-hati dalam pasaran, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata minggu ini, tumpuan akan diberikan kepada laporan indeks harga pengguna (IHP) AS pada Rabu.

"Ini boleh menjadi agak kritikal kerana minggu berikutnya Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan bermesyuarat untuk keputusan dasar monetari, oleh itu akan ada 'tempoh blackout' (kalangan ahli dan kakitangan bank Rizab Persekutuan (Fed) AS dilarang membuat sebarang kenyataan kepada orang ramai) dari 7 hingga 19 Disember," katanya kepada Bernama.

Mod Afzanizam berkata, mata data AS minggu ini telah menyokong penurunan kadar 25 mata asas dalam mesyuarat FOMC akan datang pada 17 hingga 18 Disember.

"Ini telah diterjemahkan kepada sokongan selanjutnya kepada ringgit selepas pembetulan dolar AS-ringgit berikutan berakhirnya pilihan raya Presiden AS pada 5 November lalu," katanya.

Dari segi perbandingan Jumaat hingga Jumaat pula menunjukkan prestasi ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.4170/4220 daripada 4.4425/4495, seminggu lalu.

Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan melonjak berbanding euro kepada 4.6719/6771 daripada 4.6899/6973, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6352/6416 daripada 5.6384/6473, menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9329/9364 daripada 2.9589/9638 ketika ditutup minggu lalu.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2963/3002 daripada 3.3146/3200, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 278.7/279.2 daripada 280.2/280.8, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9576/9784 daripada 12.9459/9738 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.66 daripada 7.58/7.59 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini