KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal teguh meskipun berdepan peningkatan risiko luaran, disokong asas ekonomi dan kewangan negara yang kukuh, ditambah dengan pemacu domestik yang stabil, menjadi benteng pertahanan utama mata wang negara.
Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berkata Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang memberangsangkan.
"Keadaan pasaran buruh yang kukuh, pelaburan yang berterusan, usaha peralihan tenaga, pelaksanaan pelan induk nasional serta pembangunan serantau menjadi tonggak kekuatan ekonomi Malaysia," katanya.
Dasar fiskal yang mengembang turut memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
"Dengan jumlah perbelanjaan belanjawan sebanyak RM421 bilion untuk tahun hadapan, enjin fiskal kekal bersifat pengembangan walaupun sasaran defisit fiskal diunjurkan turun kepada 3.8 peratus daripada KDNK," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media secara dalam talian mengenai Tinjauan Makroekonomi 2025 oleh UOB Global Economics and Market Research. Hadir sama ialah Ahli Ekonomi ASEAN di UOB, Enrico Tanuwidjaja.
Potensi pelaburan yang sedang dirancang, termasuk RM25 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), projek kerjasama awam-swasta, serta projek pembinaan kerajaan bernilai lebih RM40 bilion yang akan dimulakan pada 2025, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia pada kadar 4.7 peratus untuk 2025," kata Julia.
Unjuran ini mencerminkan normalisasi daripada kesan asas yang tinggi, kepelbagaian perdagangan yang kukuh dan pemacu domestik yang menyokong.
Walaupun begitu, Julia mengakui bahawa ringgit masih terdedah kepada perkembangan luaran, terutamanya kemungkinan tarif baharu daripada pentadbiran Trump yang dijangka memberi tekanan kepada mata wang Asia.
"Meskipun berdepan risiko luaran yang lebih tinggi, Malaysia terus menunjukkan kekuatan melalui pemacu domestik yang stabil.
"Ringgit yang mempunyai korelasi rapat dengan renminbi China (juga dikenali sebagai yuan) berkemungkinan akan mengambil arah berdasarkan pergerakan mata wang berkenaan," katanya,
Namun, terdapat beberapa faktor yang dijangka dapat menyokong ringgit.
Antaranya ialah usaha kerajaan untuk menggalakkan aliran masuk dana yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat korporat Malaysia.
Program 'Qualified Resident Investor' (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat tempatan untuk melabur semula di luar negara selepas membawa pulang dana asing juga dijangka memberi impak positif kepada ringgit.
Selain itu, liberalisasi dasar pertukaran mata wang asing bagi Bank Pembangunan Multilateral (MDB) dan institusi kewangan pembangunan bukan tempatan (DFI) untuk menerbitkan sekuriti hutang denominasi ringgit bagi kegunaan di Malaysia dan menyediakan pembiayaan ringgit kepada entiti domestik turut dijangka menyokong ringgit.