KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan keyakinan yang semakin meningkat bahawa akan terdapat satu lagi pemotongan kadar faedah AS pada pertengahan bulan ini.
Pada 6 petang, mata wang tempatan melonjak kepada 4.4250/4305 berbanding dolar AS, berbanding penutupan Rabu pada 4.4505/4550.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit disokong dengan baik dengan ia meningkat setinggi RM4.4173 berbanding dolar AS pada sesi pagi tetapi menuju lebih rendah kepada sekitar RM4.4275 menjelang akhir hari.
"(Trend) adalah selari dengan penurunan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 106.206 mata. Nampaknya Rizab Persekutuan AS (Fed) berada di landasan untuk mengurangkan kadar dana Fed sebanyak (lagi) 25 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang pada 17-18 Dis kerana dasar monetari AS kekal ketat dan telah menjejaskan momentum pertumbuhan.
"Data terkini Indeks ISM bagi sektor bukan perkilangan pada 52.1 mata pada November daripada 56 mata sebelum ini menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan AS semakin lemah walaupun secara amnya masih berkembang," katanya kepada Bernama.
Afzanizam berkata Fed mungkin mahu melonggarkan dasar monetarinya supaya pendaratan lembut bagi ekonomi AS dapat direalisasikan pada 2025.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6286/6356 daripada 5.6415/6472, meningkat berbanding euro kepada 4.6586/6644 daripada 4.6735/6782 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.9439/9478 daripada 2.9546/9580 pada penutupan Rabu.
Unit tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2985/3029 berbanding 3.3057/3093 pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 278.9/279.4 daripada 279.2/279.6 dan naik berbanding baht Thai kepada 12.9462/9710 daripada 12.9563/9751 sebelumnya.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.64/7.66 daripada 7.64/7.65.