Dasar Trump, harga emas melonjak ke paras tertinggi dua bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dasar Trump, harga emas melonjak ke paras tertinggi dua bulan


BENGALURU: Harga emas melonjak ke paras tertinggi lebih dua bulan pada Selasa, disokong oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) serta sentimen pelabur yang beralih kepada logam berharga itu di tengah ketidaktentuan dasar perdagangan Donald Trump.

Harga emas spot meningkat 0.6 peratus kepada AS$2,722.83 satu auns atau RM393.432 segram pada jam 4.57 petang waktu Malaysia, menghampiri paras tertinggi sepanjang masa iaitu AS$2,790.15 yang dicatatkan pada Oktober lalu.

Indeks dolar AS susut 0.7 peratus, hampir ke paras terendah dalam tempoh dua minggu yang dicapai sesi sebelumnya, sekali gus menjadikan emas lebih menarik kepada pemegang mata wang lain.

Namun, harga niaga hadapan emas AS turun sedikit sebanyak 0.5 peratus kepada AS$2,734.20, mengecilkan jurang premium berbanding harga emas spot selepas Trump tidak segera mengenakan tarif seperti yang dijangka pada Isnin.

Trump bagaimanapun memberi bayangan bahawa AS mungkin mengenakan tarif terhadap Kanada dan Mexico dalam masa terdekat, yang dijangka menghangatkan ketidaktentuan pasaran.

"Peningkatan ketidaktentuan ini berpotensi memberi manfaat kepada pasaran emas, dan harga emas dijangka mencecah AS$3,000 satu auns menjelang pertengahan 2025," kata Julia Khandoshko, Ketua Pegawai Eksekutif broker Mind Money.

Logam berharga seperti emas sering dianggap sebagai pelaburan selamat dalam situasi ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu.

"Pasaran masih berada dalam mod 'risk-off', jadi sebarang penurunan harga emas dijangka akan menarik minat belian," kata penganalisis StoneX, Rhona O'Connell.

Dasar Trump juga dilihat berpotensi menambah tekanan inflasi, yang mungkin mendorong bank pusat AS mengekalkan kadar faedah tinggi lebih lama. Langkah ini berisiko memberi tekanan kepada emas yang tidak menghasilkan faedah.

Logam berharga lain turut mencatat prestasi bercampur-campur. Perak spot susut 0.27 peratus kepada AS$30.41 satu auns, manakala paladium turun 0.7 peratus kepada AS$935.55 dan platinum jatuh 1.7 peratus kepada AS$928.75. Kedua-dua logam ini banyak digunakan dalam sistem ekzos kenderaan untuk mengurangkan pencemaran.

Sementara itu, Trump pada Isnin membatalkan perintah eksekutif 2021 yang ditandatangani oleh Joe Biden, yang bertujuan memastikan separuh daripada kenderaan baharu yang dijual pada 2030 adalah kenderaan elektrik (EV).

"Jika terdapat keyakinan terhadap dasar-dasar ini, kita mungkin melihat lonjakan harga, tetapi buat masa ini, pasaran berada dalam mod tunggu dan lihat," kata O'Connell.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini