Harga minyak mungkin turun ke AS$40 jika OPEC+ lancar perang harga - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mungkin turun ke AS$40 jika OPEC+ lancar perang harga


KUALA LUMPUR: OPEC+ mungkin mempertimbangkan untuk melancarkan semula perang harga minyak mentah bagi melemahkan pengeluar minyak syal Amerika Syarikat (AS) jika tindakan yang diambil oleh bakal Presiden Donald Trump dilihat sebagai ancaman jangka panjang terhadap pasaran minyak.

Menurut nota penyelidikan RHB Investment Bank baru-baru ini, senario ini berpotensi menurunkan harga minyak mentah serendah AS$40 setong, seperti yang berlaku pada 2014 apabila OPEC membanjiri pasaran dengan bekalan minyak, mencetuskan kejatuhan harga terbesar dalam sejarah industri itu.

"OPEC+, yang kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap dasar Trump, memiliki keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak tiga juta tong sehari dalam tempoh singkat, memanfaatkan kapasiti simpanan sebanyak 6.5 juta tong sehari.

"Arab Saudi, dengan kapasiti simpanan terbesar 3.1 juta tong sehari, disokong oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq, berada dalam kedudukan untuk menggerakkan langkah ini jika diperlukan.

"Namun, risiko perang harga dianggap rendah kerana Arab Saudi dan beberapa ahli gabungan OPEC bergantung kepada hasil minyak bagi menampung belanjawan fiskal mereka," katanya.

Tambahnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan harga minyak keseimbangan fiskal Arab Saudi adalah AS$90 setong menjelang 2025, manakala Iraq berada dalam situasi yang sama.

Sebaliknya, UAE mempunyai harga keseimbangan fiskal yang lebih rendah pada AS$54 setong, memberi kelebihan daya tahan kepada negara itu.

Dalam pada itu menurut OPEC, bekalan bukan OPEC+ dijangka terus memacu pertumbuhan bekalan global pada 1.1 juta tong sehari (mbpd) (2024: 1.2 mbpd), yang dipacu terutamanya oleh AS, Brazil, Kanada, dan Norway.

"Sebahagian daripada projek-projek ini adalah pengeluaran di perairan dalam yang dipacu oleh penggunaan FPSO (Floating Production Storage and Offloading). Bekalan ini dijangka akan berterusan dalam jangka sederhana.

"Rystad Energy meramalkan anugerah FPSO pada masa depan dijangka meningkat semula ke tahap sejarah sebanyak 10 kapal (dari anggaran tujuh anugerah pada 2024) setiap tahun sehingga 2030.

"80 peratus daripada jumlah yang dijangka ini masih ekonomik dalam senario harga rendah AS$50 setong. Anugerah-anugerah masa depan ini terutama tertumpu di Amerika Selatan (Brazil, Guyana) dan Afrika Barat (Nigeria, Angola)," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini