KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan dagangan Jumaat dengan mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah sentimen Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijangka terus menaikkan kadar faedah, disokong data ekonomi negara itu yang memberangsangkan.
Pada jam 8.02 pagi, ringgit berada pada paras 4.5000/5100 berbanding dolar AS berbanding 4.5005/5055 sewaktu penutupan urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal kukuh dan mencatat peningkatan kepada 109 mata sejak tiga hari lalu susulan sentimen positif terhadap dolar AS.
"DXY menunjukkan trend peningkatan sejak September tahun lalu selepas Fed melaksanakan penurunan kadar faedah yang dijangka pada mesyuarat 17 hingga 18 September lalu.
"Meskipun terdapat kemungkinan Fed akan menurunkan kadar faedah lagi tahun ini, jumlah penurunan yang kecil mencerminkan pendirian tegas bank pusat itu dalam mengekalkan dasar monetari yang ketat," katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan perkembangan itu akan terus mempengaruhi sentimen pasaran, sekali gus menyaksikan ringgit diniagakan dalam lingkungan RM4.50 berbanding dolar AS.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berpendapat kekuatan dolar AS dijangka bersifat sementara bagi Malaysia, memandangkan asas makroekonomi negara yang kekal kukuh.
"Peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pembangunan infrastruktur yang rancak terus menyokong daya tahan ekonomi Malaysia," katanya.
Selain itu, lonjakan harga minyak mentah Brent daripada sekitar AS$74 setong pada akhir 2024 kepada hampir AS$77 setong semalam turut dijangka memberi sokongan tambahan kepada ringgit.
Dalam perkembangan lain, ringgit dibuka lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8463/8528 daripada 2.8466/8500 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6332/6435 berbanding 4.6382/6434 semalam.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.5359/5482 berbanding 5.5271/5332 sebelumnya.
Dalam dagangan mata wang ASEAN, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur.
Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0208/0592 daripada 12.9937/13.0142 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2880/2956 berbanding 3.2865/2906.
Ringgit juga mendatar berbanding peso Filipina pada 7.69/7.71 serta mencatat paras sama berbanding rupiah Indonesia pada 277.4/278.2 berbanding 277.4/277.9 sebelum ini.