Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak akan menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat, kata penganalisis.

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.4230/4375 berbanding dolar AS daripada 4.4320/4385 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS kini berada dalam keadaan optimum, sekali gus memberi cabaran kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit.

"Ringgit boleh menghampiri paras rintangan segera pada RM4.45 hari ini," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, beberapa wakil Fed menyatakan bahawa penurunan kadar faedah perlu dilakukan secara berhati-hati, terutama mengambil kira dasar AS mengenai tarif, cukai dan imigresen.

"Malah, ada yang berpendapat bahawa kadar semasa semakin menghampiri kadar neutral, iaitu kadar yang tidak menguncup mahupun mengembang ekonomi," katanya.

Indeks Dolar AS (DXY) turut mencatat paras tertinggi 108.076 mata sebelum susut kepada 107.696. Selain itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menegaskan bahawa kerajaan AS akan mengekalkan dasar dolar yang kukuh, sekali gus memberi tekanan kepada mata wang lain termasuk ringgit.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5009/5189 daripada 5.5090/5171 ketika ditutup pada Khamis. Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 4.5933/6083 daripada 4.5920/5987 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9245/9345 daripada 2.9036/9080 sebelumnya.

Bagi mata wang ASEAN, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi. Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0912/1462 daripada 13.1175/1433, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 270.6/271.6 daripada 271.2/271.7 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.63 daripada 7.62/7.63.

Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2758/2868 daripada 3.2742/2793 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini