BENGALURU: Harga emas melonjak hampir tiga peratus ke paras tertinggi sepanjang masa pada Khamis berikutan penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan perang dagangan antara AS dan China yang semakin memuncak, sekali gus mendorong pelabur beralih kepada aset selamat.
Emas spot meningkat 2.6 peratus kepada AS$3,160.82 seauns atau RM454.09 segram pada 1.54 tengah hari waktu Timur AS (1754 GMT), selepas mencapai paras tertinggi baharu AS$3,171.49 atau RM455.62 segram dalam dagangan awal. Niaga hadapan emas AS pula ditutup 3.2 peratus lebih tinggi pada AS$3,177.50.
Kenaikan itu dipacu oleh langkah Presiden AS, Donald Trump yang mengumumkan peningkatan tarif import ke atas barangan dari China kepada 125 peratus, berbanding 104 peratus sebelum ini. Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa tarif terhadap puluhan negara lain akan ditangguhkan buat sementara waktu.
"Emas kembali menyerlah sebagai aset selamat dan kini berada pada landasan untuk mencatat paras tertinggi yang baharu," kata Penganalisis Kanan Pasaran di Tradu.com, Nikos Tzabouras.
Bagaimanapun, katanya, sebarang potensi perjanjian perdagangan antara AS dan rakan dagang lain boleh memberi tekanan kepada harga emas. Selain itu, jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang semakin suram juga boleh mengukuhkan dolar, sekali gus menjejaskan prestasi logam berharga itu.
Indeks dolar AS susut lebih satu peratus berbanding sekumpulan mata wang utama lain, menjadikan emas lebih murah untuk pelabur yang menggunakan mata wang asing.
Data dikeluarkan pada Khamis menunjukkan harga pengguna AS secara tidak dijangka menurun pada Mac. Namun, risiko inflasi kekal tinggi susulan peningkatan tarif terhadap China yang diumumkan oleh Trump.
Susulan data itu, peniaga kini menjangkakan Fed akan mula menurunkan kadar faedah seawal Jun, dengan pengurangan keseluruhan sebanyak satu mata peratusan menjelang akhir tahun.
"Kami melihat bank pusat terus membeli emas. Selagi aliran masuk ke dalam dana dagangan bursa (ETF) berterusan dan ketidaktentuan dasar monetari masih tinggi, terdapat banyak pemangkin yang akan terus menyokong kenaikan harga emas," kata Ketua Pegawai Operasi Allegiance Gold, Alex Ebkarian.
Sementara itu, harga perak spot susut 0.5 peratus kepada AS$30.88 seauns, platinum turun 0.5 peratus kepada AS$932.41 dan paladium merosot 1.4 peratus kepada AS$918.45.