KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi kebimbangan berterusan pasaran terhadap dasar tarif yang diterajui Presiden AS, Donald Trump.
Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada paras 4.4885/4930 berbanding dolar AS, susut berbanding 4.4775/4840 yang dicatatkan ketika penutupan dagangan semalam.
Namun begitu, mata wang tempatan itu mencatatkan pengukuhan berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau yang lain.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit sempat mencecah paras RM4.5000 berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal pagi sebelum kembali meningkat sedikit sepanjang hari.
"Trump kelihatan terus berpegang pada pendirian dasarnya serta kekal dengan pendekatan konfrontasi terhadap negara-negara yang bertindak balas terhadap tarif dikenakan AS.
"Keadaan ini menunjukkan kemungkinan berlakunya tempoh gangguan perdagangan yang berpanjangan. Buat masa ini, masih belum jelas sejauh mana pentadbiran Trump bersedia untuk berunding dengan negara lain," katanya kepada *Bernama*.
Tambah beliau, ketidaktentuan ini menambah tekanan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi global dan dijangka menyebabkan pasaran tukaran asing kekal tidak menentu dalam jangka pendek.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0501/0533 daripada 3.0655/0704 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding euro kepada 4.9005/9055 daripada 4.9100/9172 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7210/7268 daripada 5.7491/7575.
Ringgit turut mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang ASEAN lain apabila meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8898/9094 daripada 12.9128/9408 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 265.7/266.1 daripada 266.1/266.6.
Ia juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3224/3259 berbanding 3.3228/3281, namun sedikit susut berbanding peso Filipina kepada 7.83/7.84 daripada 7.79/7.81 semalam.