TOKYO: Harga minyak global merosot hampir AS$1 pada awal dagangan hari ini berikutan jangkaan kemungkinan perjanjian nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dicapai.
Selain itu, terdapat laporan peningkatan mengejut inventori minyak mentah AS yang mencetuskan kebimbangan terhadap lebihan bekalan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 88 sen atau 1.3 peratus kepada AS$65.21 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun 92 sen atau 1.5 peratus kepada AS$62.23 setong.
Kedua-dua penanda aras itu juga mencatatkan penurunan sekitar 0.8 peratus semalam.
Iran bersedia untuk mencapai kata sepakat dengan AS sebagai pertukaran untuk menamatkan sekatan ekonomi, kata seorang pegawai negara itu kepada NBC News dalam satu temu bual yang diterbitkan kelmarin.
"Penjualan baharu dicetuskan oleh jangkaan bahawa rundingan nuklear AS-Iran akan melonggarkan sekatan AS terhadap Iran yang diperketatkan baru-baru ini, sekali gus berpotensi melegakan keseimbangan bekalan-permintaan minyak mentah global," kata ahli ekonomi Nomura Securities, Yuki Takashima.
Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, turut menyatakan sokongan penuh negaranya terhadap rundingan nuklear antara AS dan Iran serta berharap rundingan itu menghasilkan keputusan yang positif.
Washington semalam mengumumkan sekatan yang menyasarkan usaha Iran untuk mengeluarkan komponen peluru berpandu balistik di dalam negara, kata Jabatan Perbendaharaan AS, susulan sekatan yang diumumkan pada Selasa lalu ke atas kira-kira 20 syarikat dalam rangkaian yang dikatakan menghantar minyak Iran ke China sejak sekian lama.
Langkah sekatan ini dibuat selepas rundingan keempat antara AS dan Iran di Oman dalam usaha menyelesaikan pertikaian berkaitan program nuklear Iran.
Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) terus meningkatkan bekalan minyak, walaupun OPEC kelmarin menurunkan unjuran pertumbuhan bekalan minyak dari AS dan pengeluar lain di luar kumpulan OPEC+ untuk tahun ini.
Sementara itu, data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menunjukkan bahawa stok minyak mentah AS meningkat sebanyak 3.5 juta tong kepada 441.8 juta tong bagi minggu yang berakhir pada 9 Mei, berbanding jangkaan penurunan sebanyak 1.1 juta tong berdasarkan tinjauan Reuters.
Data daripada Institut Petroleum Amerika (API) yang dikeluarkan pada Selasa lalu juga menunjukkan peningkatan besar sebanyak 4.3 juta tong dalam stok minyak mentah minggu lalu.