Ringgit cecah 4.08 berbanding dolar AS pagi ini, tertinggi lima tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah 4.08 berbanding dolar AS pagi ini, tertinggi lima tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi pada paras 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, mencatatkan prestasi paling kukuh dalam hampir lima tahun, didorong peningkatan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang merangsang permintaan terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0890/0970 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0980 ketika ditutup semalam. Paras itu kali terakhir dicatatkan pada 30 April 2021 apabila ringgit ditutup pada 4.0870 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengukuhan ringgit turut disokong oleh kelemahan dolar AS apabila Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) susut 0.09 peratus kepada 98.309 mata.

Beliau berkata pasaran kini menumpukan perhatian terhadap pengumuman data gaji bukan ladang (NFP) AS bagi November yang dijadualkan malam ini, yang dijangka memberi petunjuk lebih jelas mengenai hala tuju dasar monetari negara itu.

Menurutnya, peniaga dan pelabur sedang menilai data ekonomi utama yang bakal diumumkan untuk mendapatkan isyarat baharu, ketika Rizab Persekutuan AS dilihat berbelah bahagi susulan keputusan terbaharunya menurunkan kadar dasar.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit berkemungkinan kekal berhampiran paras semasa dalam jangka terdekat.

Pada pembukaan dagangan, ringgit turut dibuka lebih tinggi berbanding mata wang utama dunia.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4707/4814 daripada 5.4793/4860 ketika ditutup pada Isnin, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6374/6427 daripada 2.6410/6444, serta menambah nilai berbanding euro kepada 4.8058/8152 daripada 4.8064/8123.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang serantau ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1708/1772 daripada 3.1746/1787, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9826/13.0196 daripada 13.0201/0422, serta naik berbanding rupiah Indonesia kepada 245.3/245.9 daripada 245.5/245.9.

Selain itu, ringgit turut melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.92/6.94 daripada 6.93/6.94 ketika ditutup semalam, mencerminkan sentimen positif terhadap mata wang tempatan.



Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini