Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan permintaan terhadap mata wang Amerika Syarikat itu, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 3.9870/9900 berbanding 3.9800/9850 pada Isnin.

Ketua Perdagangan OANDA di Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, dolar AS meningkat ketika peniaga menyelamatkan diri di tengah-tengah perkembangan yang berlaku dalam politik Itali.

"Dolar dijangka meningkat lebih tinggi lagi pada Jumaat ini apabila Rizab Persekutuan mengambil langkah lain ke arah lembaran imbangan yang normal," katanya.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti Hari Wesak.

Di pasaran tempatan, Innes berkata, ringgit terus terperangkap dalam risiko politik kerana pasaran cuba memahami rancangan kerajaan baru untuk menangani defisit fiskal.

"Ringgit Malaysia akan terus berada di zon tiada perdagangan bagi pelabur asing yang kurang berminat terhadap bon dan ekuiti Malaysia," katanya.

Sementara itu, unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang asing lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2904/2963 daripada 5.3037/3116 pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.6301/6344 daripada 4.6435 / 6505 sebelumnya.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9714/9741 daripada 2.9690/9739 kelmarin dan turun berbanding yen kepada 3.6645/6680 daripada 3.6370/6419.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini