Ringgit ditutup tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tidak berubah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun data perdagangan Malaysia yang menggalakkan pada April, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 3.9700/9750 berbanding 3.9700/ 9740 bagi setiap dolar AS ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Perdagangan di Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, dasar fiskal yang tidak menentu kerajaan memberi impak besar kepada mata wang tempatan berbanding data perdagangan positif.

"Tumpuan pasaran pada masa ini adalah kuantum Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang akan dilaksana sebagai ganti Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang telah dimansuhkan pada 1 Jun.

"Sudah pasti, semua tertumpu kepada perkembangan siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB)," katanya.

Jumlah dagangan pada April melonjak 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan 3.5 peratus pada Mac.

Sementara itu, Ketua Strategi Mata Wang & Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, permintaan yang lebih tinggi bagi dolar AS juga memberi wajaran kepada ringgit di tengah laporan imbangan perdagangan yang mengagumkan, yang beliau berpendapat akan membantu menyediakan momentum positif bagi laporan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ringgit bagaimanapun, diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang asing lain.

Ia merosot sedikit berbanding dolar Singapura kepada 2.9749/9791 daripada 2.9747/9781 pada Isnin tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.6163/6219 daripada 3.6213/6259 semalam.

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.315/3197 daripada 5.3146/3208 dan menambah berbanding euro kepada 4.6453/6523 daripada 4.6564/6619 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini