Kegilaan Trump, lira dan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kegilaan Trump, lira dan ringgit




Jumaat 17 Ogos, mata wang ringgit diniagakan mencecah RM4.1030 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pagi, iaitu paras terendah dalam tempoh lapan bulan sejak 29 November 2017.

Bagaimanapun, ringgit ditutup pada RM4.1000 disokong oleh kenaikan positif bursa saham tempatan sebanyak 2.16 mata kepada 1,785.94 mata.


Semenjak kebelakangan ini ekonomi negara dan juga rantau agak ‘rapuh’ ekoran krisis kejatuhan nilai lira, iaitu mata wang Turki.

Lira jatuh disebabkan ke­tegangan ekonomi antara Turki dan AS yang sebenarnya menjejaskan mata wang pasaran baru muncul.

Pada minggu lalu, lira me­rosot sebanyak 18 peratus selepas Presiden AS, Do­nald Trump mengenakan tarif pada produk-produk keluli Turki.

Terdapat dakwaan bahawa tarif itu dikenakan kerana penahanan paderi yang dikaitkan mahu menjatuhkan kerajaan Turki dan sebagai amaran dari AS.

Dari segi teknikalnya, krisis lira berlaku dengan kejatuhan aset berisiko yang cenderung kepada aset selamat seperti dolar AS dan yen hingga menyebabkan ringgit mengalami kejatuhan nilai.

Dalam hal ini negara yang mempunyai jumlah hutang yang besar dalam dolar AS akan mengalami tekanan ekoran daripada pengukuhan dolar AS serta kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Penganalisis melihat krisis lira itu boleh mencetuskan masalah kepada negara-negara pasaran baru muncul seperti Argentina, Filipina, Brazil, Indonesia, Mexico dan tidak terkecuali Malaysia.

Sebelum lira, Trump yang memenangi pilihan raya Pre­-
si­den dengan slogan kempen ‘Menjadikan AS Kembali Hebat’ juga mengenakan tarif terhadap produk China.

Sebenarnya kemenangan Trump yang juga ahli korporat pada 2016 turut menyebabkan pasaran saham dunia jatuh dan mencetuskan kegusaran mengenai masa depan politik dunia terutamanya berhubung hala tuju kepimpinan Washington.

Pada bulan lalu, laporan berita bahawa Trump dijangka mengenakan tarif 10 peratus ke atas senarai eksport China bernilai AS$200 bilion (RM806 bilion) ke AS menyebabkan ringgit dibuka rendah pada RM4.0320 berbanding dolar AS.

Ia juga menyaksikan pasaran saham utama dan Bursa Malaysia jatuh memandang­kan pelabur mengeluarkan aset yang berisiko selepas AS dilaporkan mahu mengenakan lebih banyak tarif ke atas China.

Ringgit ketika itu muncul mata wang keempat di rantau ini yang mencatat prestasi terburuk selepas baht, yuan dan rupee, apabila menyusut 4.6 peratus antara April hingga Jun tahun ini disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan cabaran di peringkat domestik.

Pembentukan kerajaan baharu juga sedikit seba­nyak menyumbang kepada kelemahan prestasi ringgit dan juga bursa tempatan. Kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memeranjatkan pelabur.

Kerajaan terdahulu yang disifatkan mesra pelabur banyak menyumbang kepada pembentukan ekonomi negara hingga ringgit ketika itu berlegar bawah RM4 berban­ding dolar.

Malah pelaksanaan projek-projek mega seperti ECRL. LRT3 dan HSR sedikit seba­nyak memberi keyakinan kepada pelabur tentang hala tuju ekonomi negara dan merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat domestik yang melaksanakan kerja-kerja infrastruktur.

Malangnya apabila PH mula menerajui kerajaan, maka projek-projek tersebut dibatalkan dan hutang negara didakwa mencecah RM1 trilion mula dijadikan isu untuk menyalahkan kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, berlakunya krisis keyakinan terhadap ekonomi walaupun penganalisis ekonomi berpendapat bahawa asas-asas ekonomi masih kukuh dan Malaysia mampu menyerap ketidaktentuan pasaran.

Ya, prestasi ringgit juga bergantung kepada faktor luaran tetapi faktor domestik mempunyai peranan untuk mengukuhkan. Nilai ringgit yang rendah walaupun memberi kelebihan kepada eksport, tetapi turut menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal.

Pada akhirnya dalam sebuah kitaran ekonomi yang boleh disifatkan berbentuk bulat, pengguna jugalah yang akan menanggung bebannya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini