Ringgit dijangka diniaga lebih rendah minggu depan


KUALA LUMPUR - 25 Ogos 2018-  Ringgit dijangka diniagakan lebih rendah dan berkisar antara 4.10 dan 4.12 berbanding dolar AS minggu depan berikutan kebimbangan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat akan menjejaskan permintaan untuk mata wang tempatan.

Peniaga berkata, pembuat dasar Federal Reserve AS secara umumnya bersetuju bahawa kadar faedah perlu terus meningkat, dengan kenaikan kadar seterusnya dijangka pada September.

Sementara itu, Ketua Strategi Matawang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, ringgit ditutup minggu ini di bawah paras psikologi 4.10 berbanding dolar US.

“Satu lagi keadaan pasaran yang tidak menentu akan menyebabkan ringgit turun ke arah 4.15,” katanya dalam satu nota.

Beliau berkata ringgit akan terus dipengaruhi faktor luaran seperti keputusan perjumpaan pegawai bank pusat global pada persidangan Jackson Hole serta perkembangan daripada rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan jatuh kepada 4.1070/1100 berbanding dolar US daripada 4.1050/1080 yang dicatat minggu lalu.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah, kecuali berbanding yen Jepun di mana ia meningkat kepada 3.6851/6887 daripada 3.7129/7173 minggu lepas.

Ia meyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9950/9980 daripada 2.9842/9868, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.2668/2723 daripada 5.2150/2204 dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.7502/7553 daripada 4.6723/6765.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini