Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup 0.44 peratus lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini, selari prestasi mata wang Asia yang juga mengukuh, dengan penyusutan dolar berpunca daripada jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan menangguhkan kitaran pengawalan kadarnya pada 2019.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan didagangkan pada 4.0950/1000 berbanding dolar daripada 4.1130/1160 pada penutupan semalam.

Ketua Pedagang OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang memihak kepada kadar faedah rendah turut mendorong penyusutan dolar AS, sekali gus memihak kepada mata wang tempatan.

“Kami melihat sokongan utama bagi ringgit pada 4.10, namun jika harga minyak dunia terus meningkat, dagangan ringgit akan lebih tinggi kepada 4.05 kepada dolar AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0286/0334 daripada 3.0310/0336 semalam, dan tinggi berbanding pound British kepada 5.2256/2337 daripada 5.2445/2504.

Ringgit bagaimanapun lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7882/7931 daripada 3.7755/7796 dan rendah berbanding euro kepada 4.7191/7253 daripada 4.7135/7178.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini