Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh peningkatan sentimen terhadapnya susulan faktor seperti resolusi rundingan dagangan Amerika Syarikat-China dan menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 oleh Bank Negara Malaysia, esok.

Sewaktu ditutup, ringgit mencecah paras tertingginya dalam tempoh enam bulan iaitu 4.0650/0690 berbanding dolar US daripada 4.0770/0800, semalam.

Peniaga berkata penggiat pasaran adalah positif terhadap mata wang negara sedang pesat membangun selepas Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat berkemungkinan melanjutkan gencatan dagangan selama 90 hari dengan China yang sepatutnya berakhir pada 1 Mac ini sekiranya kedua-dua pihak dapat memuktamadkan perkara itu pada Khamis.

“Bagi prestasi KDNK Malaysia pula, kalangan penggiat pasaran menjangkakan ekonomi negara ini mencatat pertumbuhan yang lebih pesat dalam suku keempat, dipacu oleh prestasi eksport serta perbelanjaan swasta,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lainnya.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9982/0016 daripada 3.0004/0031 dan meningkat berbanding yen kepada 3.6724/6764 daripada 3.6876/6913.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.6016/6073 daripada 4.5960/6010 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2382/2437 daripada 5.2369/2428, semalam. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini