Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan untuk ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh peningkatan harga minyak mentah serta keyakinan terhadap kejayaan perjanjian perdagangan AS-China.

Pada penutupan, ringgit mengukuh kepada 4.0830/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0900 Jumaat lalu.

Peniaga berkata, sentimen pasaran mendorong pelabur untuk beralih kepada mata wang lebih berisiko seperti ringgit daripada mata wang selamat seperti dolar AS.

"Ramai pelabur menaruh harapan tinggi bahawa Beijing dan Washington akan dapat mengelak perang perdagangan yang berterusan,” katanya.

Rundingan dagangan antara AS dan China di Beijing dilaporkan berjalan lancar minggu lalu, dan rundingan akan bersambung di Washington minggu ini, yang mencetuskan harapan tinggi bahawa kedua-dua pihak akan mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir pada 1 Mac.

Sementara itu, peniaga itu berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi yang menyaksikan minyak mentah Brent didagangkan melepasi AS$66 setong hari ini, turut membantu mengangkat mata wang tempatan, memandangkan Malaysia ialah negara pengeksport bersih minyak dan gas.

Pada penutupan, ringgit bagaimanapun didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen Jepun.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0100/0145 daripada 3.0082/0116 Jumaat lalu, rendah berbanding pound British kepada 5.2724/2797 daripada 5.2354/2409 dan rendah berbanding euro kepada 4.6195/6264 daripada 4.6110/6152.

Berbanding yen, ringgit mengukuh kepada 3.6934/6982 daripada 3.7013/7050 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini