Ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar pasaran mata wang serantaunya berikutan keyakinan pelabur berhubung perbincangan perdagangan AS-China akan mendatangkan hasil positif, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.0650/0700 berbanding dolar AS daripada 4.0770/0800 penutup semalam.

Peniaga berkata, dengan Presiden Donald Trump bersedia untuk melanjutkan tarikh akhir 1 Mac berhubung gencatan perang perdagangannya dengan China, ia memberi isyarat bahawa kedua-dua negara itu mungkin akan mencapai kata sepakat.

"Ini memberi isyarat positif kepada pelabur dan sejak pengumuman, pasaran rali pada momentum menaik, dan kami berharap ini berterusan," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan di United Overseas Bank (Malaysia) Bhd, Julia Goh, berkata dalam jangka terdekat, ringgit dijangka disokong oleh pemacu pertumbuhan domestik yang stabil, pembaharuan dasar secara beransur-ansur, dan lebihan akaun semasa yang mapan.

"Mata wang tempatan masih kekal rendah berbanding rakan serantau, dan aset dalam ringgit boleh menawarkan pertahanan selamat di tengah-tengah peristiwa pilihan raya serantau pada separuh pertama tahun 2019," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia didagangkan lebih kukuh berbanding dolar Singapura pada 2.9971/0013 berbanding 3.0004/0031 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.6774/6829 daripada 3.6876/6913.

Berbanding euro, ringgit susut kepada 4.6056/6129 daripada 4.5960/6010, dan merosot berbanding pound British kepada 5.2410/2495 daripada 5.2369/2428. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini