Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hampir paras terendah dalam julat mingguan selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) negara kembali positif, berikutan peniaga tidak mengambil kira jangkaan penurunan kadar oleh Bank Negara, kata peniaga.

Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan data bagi Mac 2019, yang menyaksikan kadar inflasi, seperti diukur oleh IHP, naik 0.2 peratus kepada 121.1 daripada 120.9 pada tahun sebelumnya.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1340/1380 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1300 semasa ditutup pada Rabu.

Rakan Pengurusan dan Ketua Dagangan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dagangan unit tempatan kurang sensitif kepada harga minyak yang meningkat berikutan pasaran menumpukan kepada kos daripada subsidi yang lebih tinggi yang kemungkinan melebihi manfaat daripada perolehan tenaga yang lebih besar.

Beliau berkata dua perkara dalam Belanjawan 2019: minyak diambil kira pada AS$70 setong dan subsidi minyak diperuntukkan sebanyak RM2 bilion.

“Dengan harga minyak meningkat, tanpa semakan semula kepada program subsidi, paras subsidi semasa boleh memberi kesan kepada unjuran akaun kerajaan. Dan terus terang, harga minyak yang lebih tinggi hanya boleh melewatkan kehilangan lebihan akaun semasa Malaysia. Ternyata negatif untuk ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0288/0328 daripada 3.0351/0392 pada Rabu dan naik berbanding pound British kepada 5.3200/3268 daripada 5.3365/3446.

Mata wang tempatan rendah berbanding yen kepada 3.6940/6986 daripada 3.6870/6921, bagaimanapun menambah berbanding euro kepada 4.6020/6077 daripada 4.6254/6326.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini