Ringgit kekal dalam jajaran kecil minggu depan



KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat yang lebih baik daripada jangkaan dijangka menyaksikan dolar naik lebih tinggi mulai minggu depan, mungkin menyebabkan ringgit menguji paras 4.10-4.15, kata penganalisis FXTM Han Tan.

Jabatan Perdagangan AS semalam mengumumkan ekonomi AS berkembang 3.2 peratus pada suku pertama 2019, kadar terpantas bagi pertumbuhan suku pertama sejak 2015.

“Ini menggariskan jangkaan dagangan unit tempatan berbanding dolar AS akan kekal dalam jajaran kecil, tanpa mengambil kira sebarang risiko yang mungkin mencetuskan pergerakan mendadak,” katanya.

Beliau juga berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mac sebanyak 0.2 peratus yang diumumkan pada Rabu turut menolak kebimbangan mengenai pengurangan kadar inflasi yang dicatatkan pada Januari dan Februari, menunjukkan inflasi kekal terurus bagi tahun ini.

Penganalisis itu berkata pada Isnin, kebanyakan mata wang Asia akan memberi tindak balas kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku pertama.

“Bagi ekonomi domestik pada minggu depan, data perdagangan luar bagi Mac yang dijadualkan pada Jumaat depan akan menjadi ukuran utama ekonomi Malaysia, dan pelabur akan berminat untuk mengetahui sama ada import dan eksport pada bulan tersebut meningkat semula daripada penurunan tahun ke tahun pada Februari, dengan ketegangan perdagangan AS-China dan pertumbuhan global yang sederhana.

“Walaupun ringgit masih didorong terutamanya oleh faktor luaran, petunjuk ekonomi yang mengukuhkan naratif mengenai daya tahan Malaysia dalam menghadapi cabaran luaran yang mengukuhkan sokongan terhadap ringgit,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan bercampur-campur kepada rendah menjejaki antaranya harga minyak mentah global, IHP dan jangkaan kadar faedah rendah Bank Negara.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit susut kepada 4.1310/1340 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0306/0332 daripada 3.0473/0514 sebelum ini, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6966/6997 daripada 3.6898/6949.

Ringgit naik berbanding pound British kepada 5.3302/3362 daripada 5.3707/3792, dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6007/6044 daripada 4.6446/6506 sebelum ini. - 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini