Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan pasaran menjangkakan prestasi unit tempatan itu lebih mengukuh dan bergerak ke arah paras 4.12.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada pada 4.1320/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1350 yang dicatat pada Khamis.

Rakan Pengurusan Vanguard Markets, Stephen Innes, berkata ringgit diunjur bergerak ke paras lebih tinggi berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah.

“Pelabur turut memberi tumpuan terhadap data penggajian bukan perladangan AS dan sebarang tindakan pelabur akan banyak bergantung kepada sejauh mana sentimen terhadap dolar AS.

“Namun, sejajar ketidaktentuan pasaran tukaran asing ketika ini, saya menjangkakan maklum balas pasaran adalah neutral dengan syarat risiko perang perdagangan itu juga tidak ketara,” katanya kepada BERNAMA menerusi emel.

Di pasaran Asia, beliau berkata pelabur terus mengutamakan pulangan berikutan penyusutan hasil Kertas Perbendaharaan 10 tahun.

Bagaimanapun, katanya, ketidaktentuan membabitkan tempoh ‘bertenang’ perang perdagangan AS-China dan tukaran asing masih dirasai di Malaysia, Filipina dan Thailand.

“Pendirian Fed yang lebih terarah kepada menurunkan kadar faedah hanya menjadikan bon lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8302/8350 daripada 3.8328/8369 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6605/6662 daripada 4.6614/6668.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0465/0499 daripada 3.0458/0492 pada Khamis dan susut berbanding pound Britain kepada 5.1964/2018 daripada 5.1943/1002. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini