Ringgit ditutup rendah selepas perang perdagangan kembali menjadi fokus - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah selepas perang perdagangan kembali menjadi fokus



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini, selepas kemelut perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China kembali menjadi fokus utama berikutan catatan Tweeter Presiden Donald Trump yang agak agresif menjelang mesyuarat perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1250/1280 berbanding 4.1230/1270 yang direkodkan semasa awal minggu ini.

Pasaran ditutup semalam bersempena dengan pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Rakan Kongsi Pengurusan Vanguard Markets, Stephen Innes, berkata pasaran sedang mengikuti aliran gelombang negatif yang terhasil dari kenyataan Trump semalam, yang mencerminkan bahawa kedua-dua negara masih terlalu jauh bagi mencapai kesepakatan.

Malahan, menurutnya, krisis AS-China itu mungkin akan bergeser lebih jauh.

"Ini memberikan petanda yang membimbangkan kepada pasaran dan menjejaskan ringgit selepas perang perdagangan kembali menjadi fokus utama," katanya kepada Bernama.

Pada pagi Selasa lalu, Trump telah mengeluar kenyataan melalui Tweeter yang menyebut "Pasukan saya sedang berunding dengan mereka sekarang, tetapi mereka sentiasa menukar persetujuan pada saat-saat akhir bagi kepentingan mereka.

"Jika dan bila saya menang, perjanjian yang mereka dapat akan menjadi lebih sukar daripada apa yang kami rundingkan sekarang... atau tiada kesepakatan langsung,"' kata Presiden AS itu.

Sementara itu, Innes berkata ringgit turut menerima tekanan daripada jangkaan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS iaitu 25 mata asas, sepertimana yang diramalkan semasa mesyuarat dasar rizab itu yang akan berlangsung selama dua hari mulai 30 Julai lalu.

Ketahanan dolar AS dalam menghadapi jangkaan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan pada awal Khamis ini (jam 2 pagi waktu Malaysia) telah menjejaskan prestasi ringgit," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0134/0162 daripada 3.0062/0096, turun berbanding yen kepada 3.7997/8029 daripada 3.7951/7995 dan jatuh berbanding euro kepada 4.5969/6019 daripada 4.5860/5913.

Berbanding pound, unit tempatan itu meningkat kepada 5.0189/0242 daripada 5.0849/0915 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini