Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan pelabur menunggu perkembangan daripada dua acara penting minggu depan, iaitu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS, dan juga perbincangan perdagangan AS-China.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1180/1210 berbanding 4.1130/1160 ketika ditutup pada Khamis.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata perbincangan perdagangan antara AS dan China disambung pada Selasa di Shanghai, pelabur tetap mengambil pendekatan berhati-hati dengan pertemuan itu.

"Memandangkan konflik perdagangan yang berlarutan kekal sebagai pemacu utama sentimen pasaran global, pelabur mungkin memberi tindak balas terhadap sekecil manapun perkembangan terhadap kebuntuan AS-China,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pelabur juga kekal tidak memasuki pasaran kerana Rizab Persekutuan AS dijangka menurunkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2008, dengan pengurangan 25 mata asas, menurut ramalan pasaran.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia tinggi sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0091/0118 daripada 3.0116/0143 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7905/7936 daripada 3.8048/8086.

Mata wang tempatan juga naik berbanding pound kepada 5.1211/1265 daripada 5.1314/1372, tetapi merosot berbanding euro kepada 4.5879/5920 daripada 4.5765/5815.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini