Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan terus terperangkap dalam jajaran kecil, minggu depan, dengan pasaran mencari arah tuju menerusi data utama ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dikeluarkan minggu depan.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata AS akan menyiarkan beberapa petunjuk ekonomi penting, termasuk laporan data awal keluaran dalam negara kasar suku kedua 2019 dan Indeks Keyakinan Pengguna.

“Ini akan menentukan sentimen menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (Fed) yang dijadualkan pada 17 dan 18 September,” katanya.

Afzanizam berkata, setakat ini, petunjuk ekonomi AS agak bercampur-campur, membayangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan penurunan dalam kadar faedah.

Ini, katanya, akan mendorong ​​​​​​​pengukuhan dolar memandangkan Fed mungkin tidak tergesa-gesa untuk menurunkan lagi kadar.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes menjangkakan ringgit akan didagangkan dalam kedudukan yang memihak kepada negatif dalam lingkungan 4.18 hingga 4.20.

“Kecuali Fed membuat keputusan mengejut dengan menurunkan kadar, prospek dolar yang lebih kukuh ketika wujud ketidaktentuan perang perdagangan, meletakkan ringgit dalam kedudukan negatif.

“Isunya ialah dolar yang kukuh berdepan dengan yuan yang lemah, meletakkan forex Asia dan ringgit dalam kedudukan lemah,” katanya dan menambah prestasi ringgit juga bergantung kepada ucapan dasar pengerusi Fed, Powell pada simposium Jackson Hole.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran tempatan kebanyakannya lebih rendah memandangkan pelabur terus menunggu hasil daripada simposium Jackson Hole serta perkembangan perang perdagangan AS-China.

Ringgit mengakhiri minggu ini dalam kedudukan lemah pada 4.1900/1930 daripada 4.1760/1810 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Mata wang tempatan juga didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0213/0237 daripada 3.0097/0140 dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.9284/9327 daripada 3.9230/9288

Unit tempatan juga rendah berbanding pound kepada 5.1147/1201 daripada 5.0763/0828 dan rendah berbanding euro kepada 4.6333/6383 daripada 4.6283/6346.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini