Ringgit susut ke paras terendah dalam tempoh dua bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut ke paras terendah dalam tempoh dua bulan



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot sebanyak 0.29 peratus kepada paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan pelabur bimbang mengenai ketegangan perdagangan antara AS dan China yang meningkat.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1890/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 semasa ditutup semalam.

Ia merupakan prestasi unit tempatan yang paling lemah sejak 31 Mei, 2019 apabila ia ditutup pada 4.1890/1920 berbanding dolar AS.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd Stephen Innes, berkata pertikaian perdagangan yang berterusan antara dua kuasa besar ekonomi itu turut menjejaskan pasaran minyak dan komoditi, dengan permintaan global yang sedia perlahan.

“Harga minyak akan terus menerima tekanan disebabkan ketegangan perdagangan AS-China yang meningkat. Peningkatan itu negatif kepada unjuran pertumbuhan global dan amat negatif untuk harga minyak,” katanya.

Pada 6.30 petang, penanda aras minyak mentah Brent sebanyak AS$59.95 setong berbanding AS$65.05 setong minggu lepas.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0350 daripada 3.0231/0264 semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.9367/9406 daripada 3.9343/9389.

Berbanding pound, unit tempatan susut kepada 5.1123/1180 daripada 5.0684/0741, dan turun berbanding euro kepada 4.6917/6963 daripada 4.6561/6611.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini