Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peniaga masih terus menunggu tanda-tanda positif sebelum tarif baru dikenakan AS ke atas import China bermula pada 15 Disember 2019.

Pada 9.03 pagi, ringgit dipetik pada 4.1750/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1750 penutup Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Asia di AxiTrader, Stephen Innes, berkata memandangkan tahap ketidakpastian dan kelewatan yang mungkin berlaku dalam perjanjian perdagangan AS-China, peniaga lebih cenderung untuk mengimbangi semula pertaruhan kenaikan harga dan menjadikannya lebih neutral terhadap risiko mata wang ASEAN.

"Kerana risiko yang tinggi secara umumnya, pelabur global mungkin lebih cenderung untuk melindung nilai mata wang ASEAN, termasuk pendedahan ringgit memasuki 2020," katanya dalam satu nota hari ini.

Innes menjangkakan prestasi nota tempatan minggu ini boleh menjadi kritikal dalam membentuk pandangan menjelang 2020, ketika mana semakin dekat pasaran memasuki Disember, ditambah dengan ketiadaan tarikh atau tempat bersemuka yang dipilih untuk mengadakan rundingan perdagangan AS-China, semakin tinggi kebarangkalian bagi aset-aset risiko tempatan akan goyah dan ringgit akan semakin lemah.

Pada pembukaan, ringgit dibuka kebanyakannya lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen kepada 3.8373 / 8411 daripada 3.8412/8469 Jumaat, mengukuh berbanding pound kepada 5.3653/3696 daripada 5.3672/3753 dan menokok berbanding euro kepada 4.6013/6054 daripada 4.6116/6188.

Nota tempatan lemah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0597/0624 daripada 3.0590/0638 Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini