Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut hari ini susulan pengumuman pakej rangsangan ekonomi 2020 yang membantu meningkatkan minat dalam pasaran.

Unit tempatan ditutup kukuh pada 4.2100/2200 berbanding dolar AS daripada 4.2230/2280 yang direkodkan pada 6 petang Rabu.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion untuk melindungi ekonomi negara daripada kesan berkaitan dengan penularan COVID-19.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pakej rangsangan itu akan membantu perniagaan yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 untuk memudahkan aliran tunai mereka dan mengurangkan kos perniagaan.

Antrara langkah-langkahnya adalah penangguhan pembayaran cukai pendapatan bulanan bagi perniagaan dalam sektor pelancongan dari April hingga September 2020.

Dr Mahathir juga memberi jaminan Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk membiayai pakej rangsangan itu dalam bentuk simpanan daripada Bank Negara Malaysia, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Seorang peniaga berkata, pakej rangsangan itu membantu mengurangkan kebimbangan dalam pasaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi.

“Pasaran memberikan reaksi positif kepada pengumuman itu. Ia juga mengimbangi sentimen dolar AS, yang mana permintaan meningkat dengan ketara terhadap aset selamat susulan penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Malaysia antara negara terawal yang mengumumkan pakej rangsangan bagi menangani kesan COVID-19 secara berkesan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0181/0264 daripada 3.0205/0245 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 3.8210/8308 daripada 3.8280/8335 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4317/4459 daripada 5.4679/4761.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding euro kepada 4.6032/6154 daripada 4.5980/5047 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini