Harga minyak dunia kembali meningkat


SINGAPURA: Harga minyak melonjak semula di dagangan Asia hari ini daripada penyusutan ketara berikutan ekonomi utama menunjukkan mereka bersedia melancarkan lebih banyak langkah rangsangan untuk menangani impak daripada pandemik COVIC-19.

Kontrak minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate naik 0.5 peratus kepada AS$27 setong, sementara penanda aras antarabangsa Brent naik 0.9 peratus kepada AS$29 setong.

Bagaimanapun, harga masih pada paras rendah dalam tempoh beberapa tahun dengan sekatan perjalanan dan langkah lain untuk mengekang penularan virus menjejaskan permintaan dan pengeluar utama, Arab Saudi dan Russia berperang harga.

Ia meningkat sedikit hari ini selepas kerajaan AS dan Eropah menunjukkan lebih banyak rangsangan.

Pentadbiran Donald Trump dilaporkan mempertimbangkan sebanyak AS$1 trilion dalam pakej rangsangan untuk meningkatkan ekonomi utama dunia itu.

Bagaimanapun, Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata prospek permintaan kekal "suram".

“Sememangnya, skala kesan ekonomi COVID-19 terhadap ekonomi dunia utama tidak dapat ditandingi,” katanya.

Harapan untuk rangsangan mengimbangi kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan baharu Arab Saudi-Russia selepas Riyadh berkata ia bercadang untuk meningkatkan eksport minyak kepada lebih 10 juta tong sehari.

Pengeksport minyak mentah terbesar dunia berkata, ia akan mengeluarkan tambahan 250,000 tong minyak untuk eksport dengan menggunakan gas bagi kegunaan domestik.

Perang harga bermula minggu lalu selepas Arab Saudi mendesak pakatan tidak rasmi pengeluar minyak utama untuk mengurangkan output bagi mengekang kesan wabak virus terhadap harga.

Bagaimanapun, ahli bersekutu dan ahli bukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Russia, pengeluar minyak terbesar kedua di dunia, enggan, sekali gus mendorong Riyadh melaksanakan pengurangan harga besar-besaran untuk meningkatkan pengeluaran. - AFP

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini