Dolar mengukuh, ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan mata wang AS itu mengukuh susulan data ekonominya yang lebih baik, kata peniaga.

Sehingga 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2800/2860 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2800 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata dolar AS yang mengukuh itu turut disokong oleh sentimen penghindaran risiko pelabur yang bersandarkan kepada data ekonomi AS yang kukuh.

"Bagaimanapun, data AS itu terjejas oleh jumlah kes COVID-19 yang meningkat," katanya dalam nota hari ini.

Di peringkat tempatan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.

Dalam mesyuarat keempat pada tahun ini, MPC mengurangkan OPR kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0659/0706 daripada 3.0702/0770 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.9744/9803 daripada 3.9784/9870.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding pound kepada 5.3723/3802 daripada 5.3431/3535, manakala naik berbanding euro kepada 4.8236/8316 daripada 4.8362/8457.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini