Pastikan risiko pelaburan terurus - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pastikan risiko pelaburan terurus



PERTUMBUHAN ekonomi global akan sederhana pada 2019 manakala ketidaktentuan pasaran dijangka terus meningkat pada bulan-bulan akan datang. Risiko geopolitikal yang berlarutan termasuk ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan harga komoditi yang lebih rendah, menimbulkan cabaran kepada pasaran kewangan dunia.

Dengan latar belakang sedemikian, bagaimana seharusnya pelabur, yang ingin menjana pendapatan mapan sambil menguruskan risiko dan ketidaktentuan, menguruskan pelaburan mereka?

Wartawan Utusan Malaysia, NABILA YASMIN RAZIB mendapatkan pandangan daripada Pengarah Urusan dan Ketua Negara, Perkhidmatan Kewangan Peribadi, UOB Malaysia, Ronnie Lim bagi menjelaskan apa yang boleh dijangka oleh para pelabur dan masih adakah peluang untuk pulangan terlaras risiko pada bulan-bulan akan datang.


APAKAH yang boleh para pelabur jangkakan daripada pasaran kewangan global pada 2019?

Tahun 2019 bermula dengan tinjauan bercampur. Risiko-risiko utama termasuk kadar faedah global semakin meningkat, harga komoditi tidak menentu dan kelemahan pasaran ekuiti global yang sebelum ini melembapkan pasaran, kini bertambah baik.

Namun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan pendapatan korporat semakin sederhana. Walaupun, kenaikan kadar faedah dijangka lebih perlahan tahun ini, persekitaran keseluruhan untuk pengetatan kuantitatif, pertumbuhan pinjaman sektor swasta rendah dan konflik perdagangan menyumbang kepada jangkaan pertumbuhan global yang lebih perlahan. Ini membawa kepada anggaran pulangan pelaburan lebih rendah pada 2019.

Dengan latar belakang ini, pelabur yang mempunyai to­leransi risiko sederhana hingga rendah dan dengan tempoh pelaburan jangka panjang harus kekal bertahan dan berjaga-jaga sepanjang 2019. Pelabur seperti ini juga harus memberi pertimbangan untuk menambatkan portfolio pelaburan mereka kepada pelaburan yang mempunyai ketidaktentuan rendah yang dapat menjana pendapatan mapan sambil mengurangkan risiko pasaran lebih besar.

Apakah pandangan anda mengenai ekonomi Malaysia tahun ini?

Kami menjangkakan KDNK berkembang 4.9 peratus, namun pada kadar lebih perlahan berbanding tahun lepas. Pertumbuhan domestik kemungkinan disokong oleh permintaan kukuh daripada penggunaan swasta serta aliran masuk pelaburan asing dan eksport yang mantap. Usaha kerajaan baharu mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih telus, pertumbuhan mantap, pengangguran rendah dan lebihan akaun semasa akan membantu menyokong ekonomi domestik pada tahun hadapan.

Malaysia juga mungkin akan meraih manfaat daripada inisiatif perdagangan serantau dan pelbagai hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, yang akan membantu mendorong perdagangan dan pelaburan di rantau ASEAN.

Apa yang menjadi risiko utama bagi pelabur pada 2019?

Ketidakpastian akan terus menguasai hubungan perdagangan antara China dan AS tahun ini. Kami percaya senario terburuk adalah pengenaan tarif ke atas lebih banyak barangan buatan China. Masalah perdagangan juga boleh menjejaskan ekonomi Asia yang termasuk dalam rantaian nilai global. Sementara itu, Rizab Persekutuan AS yang meningkatkan kadar faedah bersandarkan pengangguran rendah mungkin membawa kepada dolar yang lebih kukuh, justeru, menambahkan tekanan ke atas ekonomi Asia.

Politik Eropah pula dijangka menghadapi satu lagi tahun yang bergolak, sekali gus memberi tekanan pasaran global. Masih terdapat pelbagai keputusan Brexit yang luas dan rumit, termasuk kemungkinan berlakunya tiada kesepakatan untuk Brexit. Pasaran kewangan mungkin menyaksikan lebih banyak ketidaktentuan menjelang tarikh akhir Brexit, iaitu Mac 2019. Peristiwa politik utama seperti pilihan raya Parlimen Eropah pada Mei dan pilihan raya Portugal dan Greece pada Oktober terus memberi ketidakpastian dalam pasaran kewangan.

Memandangkan risiko-risiko ini, bagaimana pelabur runcit yang mempunyai toleransi risiko lebih rendah mengurus portfolio pelaburan mereka?

Dengan mengambil kira ketidakpastian pasaran pada 2019, pelabur perlu arif dalam memilih pelaburan. Mereka perlu membezakan antara ‘bunyi’ pasaran dan asas pelaburan. Sebagai contoh, pelabur ekuiti harus menumpu pada asas sekuriti apabila melakukan pemilihan saham. Ini bermakna memberi tumpuan kepada operasi sesebuah syarikat, kunci kira-kiranya dan bagaimana ia bersaing dengan syarikat lain dalam industri. Pelabur tidak harus tertumpu pada penawaran dan permintaan untuk sesuatu sekuriti berdasarkan harga pasaran terakhirnya.

Pelabur perlu mengekalkan tumpuan dalam memastikan risiko pelaburan mereka diurus dengan baik supaya dapat memenuhi matlamat kewangan keseluruhan.

Masa dan perancangan diperlukan bagi mencapai matlamat ini. Oleh itu, adalah penting bagi pelabur untuk mengimbangkan semula dan mengoptimumkan portfolio pelaburan bagi melindungi aset, membina pendapatan yang mapan dan memenuhi matlamat kewangan jangka panjang mereka.

Di sebalik cabaran-cabaran ini, adakah pelabur masih berpeluang untuk melabur?

Kenaikan kadar faedah yang semakin perlahan memihak pada strategi pendapatan tetap dan pendapatan seimbang. Walaupun kami menjangkakan ekuiti mencatat pulangan baik pada 2019, kelas aset dijangka kekal tidak menentu dan mungkin kurang sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap toleransi risiko lebih rendah.

Berdasarkan sudut pandangan UOB, tinjauan bagi pendapatan tetap dijangka bertambah baik pada 2019 memandangkan hasilnya mungkin lebih menarik apabila Rizab Persekutuan AS memperlahankan peningkatan kadar faedah pada 2019. Tinjauan positif kami untuk bon kredit korporat disokong oleh pemilihan sekuriti yang kukuh di mana kami meneliti syarikat korporat yang mempunyai kunci kira-kira kukuh serta struktur pengurusan dan pelan perniagaan mantap.

Bagi ekuiti global, kami berpendapat ia berpotensi untuk menjana pulangan positif, ter­utama berdasarkan penilaian semasa berikutan pembetulan pasaran pada suku keempat 2018. Namun demikian, para pelabur masih perlu berhati-hati dalam persekitaran tidak menentu dan pasaran berasaskan sentimen.

Kami juga positif terhadap ekuiti pasaran baharu muncul. Kami memihak kepada Asia (tidak termasuk Jepun) memandangkan pertumbuhan ekonomi yang baik di rantau ini dan penilaian menggalakkan. Dalam rantau ini, ekuiti China menawarkan potensi pulangan lebih baik kerana nilainya jatuh berikutan penjualan di pasaran baru-baru ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini