Ringgit bercampur-campur - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit bercampur-campur



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, diseret turun oleh kebimbangan berhubung perang perdagangan AS-China dan kemungkinan pemotongan kadar faedah lanjut oleh Rizab Persekutuan AS.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1900/1940 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1880 Jumaat minggu lalu.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum.

Peniaga berkata, AS dijangka mengenakan tarif tambahan ke atas barangan China pada 1 September.

"Pasaran akan terus berada di bawah tekanan susulan hasil tindak-tanduk pentadbiran Presiden Donald Trump manakala data inflasi AS minggu ini akan hanya mengesahkan pendirian bank pusat negara itu.”

Katanya, pasaran turut mengunjurkan indeks harga pengguna AS meningkat 0.3 peratus.

"Sebarang angka lebih rendah mungkin akan hanya menambah lagi tekanan terhadap pasaran dan kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedahnya bulan depan. Jika ini berlaku, ia akan memberi rangsangan kepada ringgit," katanya.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.0582/0634 daripada 5.0652/0705 pada Jumaat dan meningkat kepada 3.0203/0242 daripada 3.0259/0285 berbanding dolar Singapura.

Namun ringgit susut berbanding yen kepada 3.9750/9799 daripada 3.9522/9561 dan rendah berbanding euro kepada 4.6953/7002 daripada 4.6858/6908. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini