Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kekurangan pemangkin terhadap unit tempatan dalam persekitaran ketidaktentuan mengenai perjanjian perdagangan antara AS dan China, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1590/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1590 semasa ditutup kelmarin.

Ahli Strategi Pasaran Axi Trader Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata ringgit akan diniagakan dengan kecenderungan rendah menjejaki yuan China berhubung ketidaktentuan perjanjian perdagangan dan rang undang-undang Hong Kong yang diluluskan oleh Senat AS.

“Sentimen yuan China mencatatkan satu lagi keadaan yang tidak memberangsangkan, dan rang undang-undang yang diluluskan itu mungkin akan memberi lebih banyak masalah berikutan Presiden AS, Donald Trump dijangka mengikut kehendak parti dan menandatangani rang undang-undang itu menjadi undang-undang, yang akan mencetuskan tindakan balas dari Beijing.

“Peniaga tidak suka yang kabur dan diunjurkan mengurangkan risiko yuan China," katanya dalam nota.

Senat AS sebulat suara meluluskan undang-undang yang bertujuan melindungi hak asasi manusia di Hong Kong dengan bantahan pro-demokrasi.

Dalam negara, Innes berkata wujud kemelut politik selepas kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan mengalami kekalahan pilihan raya selepas tewas dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Malah, ini sepatutnya menjadi ingatan kepada pemimpin kerajaan,” kata Innes.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0549/0583 daripada 3.0534/0567 pada Selasa, rendah berbanding yen kepada 3.8304/8342 daripada 3.8202/8240 dan turun berbanding euro kepada 4.6078/6115 daripada 4.5990/5040.

Bagaimanapun, unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.3734/3777 daripada 5.3829/3884 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini