Ringgit dijangka terus aliran positif - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka terus aliran positif


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, didorong oleh prospek ekonomi global yang memberangsangkan, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata data ekonomi terkini menunjukkan bahawa ekonomi global semakin stabil dan bakal pulih berikutan ketegangan perdagangan AS-China yang kini reda.

“Persekitaran sedemikian turut memberi manfaat kepada pasaran negara sedang pesat membangun untuk terus kukuh dan memberi sokongan untuk aset berisiko meningkat.

“Walaupun risiko penurunan juga ketara susulan konflik geopolitik yang boleh berlaku pada bila-bila masa, pelabur masih boleh meneruskan aktiviti dengan sentimen berhati-hati kerana risiko utama yang reda pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ekonomi global juga turut menawarkan platform kukuh bagi peningkatan ekuiti dengan musim pelaporan pendapatan AS menjadi pemangkin ke arah itu.

“Walaupun Indeks S&P 500 dan Indeks Global MSCI telah mencecah paras rekod atau tertinggi, pihak peserta pasaran akan terus bertahan walaupun ekuiti AS berdepan keadaan belian berlebihan serta dinilai terlalu tinggi.

“Pelabur menjangkakan kalangan korporat AS untuk melaporkan pertumbuhan pendapatan pertama sejak akhir 2018. Malah, peningkatan baharu didorong oleh kenaikan pendapatan tahunan yang diraih oleh Morgan Stanley,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, Tan berkata, sebahagian besar saham Asia dan mata wangnya ditutup bercampur-campur walaupun pelabur kewangan global diberi petunjuk positif terhadap prospek ekonomi AS mahu pun China.

“Jualan runcit AS meningkat 0.3 peratus pada Disember manakala tuntutan membabitkan pengangguran adalah lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 204,000.

“Ekonomi China tumbuh 6.1 peratus pada 2019 yang menepati lingkungan sasaran rasmi bagi tahun ini manakala pengeluaran industri dan angka jualan runcit pada Disember turut mengatasi jangkaan awal yang menggambarkan keadaan ekonominya,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar US pada 4.0520/0560 daripada 4.0750/0780 pada Jumaat lalu.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0108/0149 daripada 3.0194/0219 minggu lalu.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2895/2963 daripada 5.3244/3299 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5083/5139 daripada 4.5216/5254 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6776/6816 daripada 3.7160/7198 pada Jumaat lalu. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini