Buka semula ekonomi bakal lonjak nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Buka semula ekonomi bakal lonjak nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Laporan berita mengenai pembukaan semula ekonomi di seluruh dunia serta lengkungan rata jangkitan COVID-19 akan menjadi faktor utama minggu depan yang mendorong kenaikan ringgit.

Ini adalah di sebalik data ekonomi mengecewakan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data kaji selidik seperti Indeks Pengurus Pembelian Amerika Syarikat (AS) mengalami kemerosotan ketika perniagaan semakin bimbang mengenai prospek masa depan mereka.

"Justeru, kerajaan AS terus menambahkan lagi langkah rangsangan untuk menyokong perniagaan kecil. Rizab Persekutuan AS (Fed) pula komited untuk bertindak lebih jauh bagi menyediakan mudah tunai," katanya.

Beliau berkata, langkah itu sebahagian besarnya dapat meredakan kebimbangan mengenai impak buruk ke atas ekonomi akibat pandemik itu.

Mohd Afzanizam berkata, turun naik indeks juga agak kurang ketara iaitu daripada lebih 80 mata pada Mac kepada sekitar 33 mata.

Indeks itu bagaimanapun masih tinggi namun ia mencatatkan pergerakan yang boleh dianggap lebih baik dan hasilnya, mata wang tempatan meningkat berbanding beberapa mata wang lain pada Khamis, mencecah RM4.302 berbanding dolar AS daripada RM4.345 pada Rabu.

Ringgit turut tinggi berbanding yen Jepun dan dolar Singapura.

Unit tempatan kemungkinan cuba untuk naik melepasi paras RM4.30 minggu depan, tetapi secara berselang-seli akan wujud beberapa pengambilan untung memandangkan angka ekonomi dijangka kekal lemah dalam jangka terdekat, katanya.

Pasaran ditutup pada Jumaat susulan cuti umum sempena Hari Pekerja.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya, menjejaki sentimen pasaran luar, iaitu keputusan Fed mengekalkan kadar faedah hampir sifar sehingga ekonomi pulih, diikuti kenaikan harga minyak mentah susulan pembukaan semula ekonomi.

Pada Khamis, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global melonjak 12.42 peratus kepada AS$25.34 setong.

Berasaskan mingguan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding AS dolar kepada 4.2950/2050 daripada 4.3600/3680 pada Jumaat lalu.

Unit tempatan juga tinggi berbanding dolar Singapura ke 3.0461/0543 daripada 3.0594/0657 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0253/0358 daripada 4.0494/0576.

Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.3675/3808 daripada 5.3741/3853 pada Jumaat minggu lalu dan naik berbanding euro kepada 4.6639/6765 daripada 4.6927/7030. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini