Harga minyak dunia kembali susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dunia kembali susut


SINGAPURA: Harga minyak jatuh hari ini selepas kenaikan kukuh minggu lalu, dengan kebimbangan berterusan terhadap lebihan bekalan dan kapasiti simpanan disebabkan kejutan permintaan COVID-19 membayangi pemotongan output.

Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) jatuh kira-kira lapan peratus untuk diniagakan pada AS$18.19 satu tong.

Penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent susut tiga peratus untuk diniagakan pada AS$25.56 satu tong.

Pasaran minyak bergolak beberapa minggu kebelakangan ini apabila virus menjejaskan permintaan disebabkan penutupan perniagaan dan sekatan perjalanan, denan minyak mentah AS pada satu ketika jatuh ke wilayah negatif buat kali pertama.

Harga minyak mencatatkan rali tinggi minggu lalu, dengan WTI melonjak 25 peratus dua hari berturut-turut apabila pengeluar utama mula mengurangkan output sejajar dengan perjanjian utama, sambil terdapat harapan permintaan meningkat apabila ekonomi dibuka secara perlahan-lahan.

Namun, ia jatuh hari ini apabila pasaran kembali berwaspada, menjejaki penurunan dalam bursa di Asia.

Penganalisis berkata, dagangan lengang kerana pelabur berehat selepas kenaikan kukuh, namun optimis pasaran akan kembali menemui sokongan segera.

"Sebarang isyarat keseimbangan semula, sama ada melalui pembukaan semula ekonomi atau pemotongan bekalan tambahan, akan dilihat menyokong harga minyak pada paras semasa," kata Ketua Ahli Strategi Pasaran Axicorp, Stephen Innes.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini