Ringgit dibuka rendah berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dolar yang lebih kukuh mengurangkan minat terhadap mata wang tempatan.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan berada pada 4.3450/3550 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3310/3370 pada Jumaat minggu lalu.

Pasaran tempatan ditutup semalam sempena cuti umum gantian Hari Nuzul Al-Quran yang jatuh pada hari Ahad.

Ketua Pakar Strategi Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pelabur kembali semula daripada percutian ke pasaran yang diselubungi dengan kebimbangan pembukaan semula ekonomi, pasaran minyak yang tidak menentu dan kemelut perang perdagangan yang masih lagi berlarutan.

"Tetapi dengan harga minyak bergerak pada hala tuju yang betul setiap minggu dan dengan bank pusat China memberi bayangan lebih banyak langkah-langkah dasar untuk menyokong ekonominya yang terjejas akibat pandemik, ia sepatutnya membantu risiko serantau," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Innes berkata, harga minyak stabil semalaman selepas Arab Saudi mengumumkan mereka akan mengurangkan lagi satu juta tong sehari pada Jun, menjadikan pengeluaran harian mereka hanya di bawah 7.5 juta tong sehari.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0594/0675 daripada 3.0645/0696 pada Jumaat minggu lalu dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 4.0422/0519 daripada 4.0716/0780.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3478/3610 daripada 5.3626/3718 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6896/7008 daripada 4.6948/6022 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini