Ringgit dibuka sedikit rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka sedikit rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pengukuhan unit negara maju terbabit.

Pada 9.02 pagi ini, mata wang tempatan itu disebut harga pada 4.3350/3410 berbanding dolar AS daripada paras 4.3220/3330 yang dicatatkan pada 6 petang semalam.

Ringgit ditutup tinggi pada Rabu selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi tumbuh pada kadar sederhana 0.7 peratus pada suku pertama 2020 daripada 4.5 peratus pada suku sama tahun lepas.

Menurut BNM, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijejaskan oleh pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas mencatat pengembangan pada dua bulan pertama suku berkenaan, aktiviti ekonomi negara susut mendadak berikutan pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, kata bank pusat itu.

Sementara itu Ketua Strategis Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit diniagakan pada kadar lebih seimbang berikutan peningkatan minyak yang lebih baik daripada jangkaan awal berbanding suku pertama 2020.

Namun, ringgit dijangka terus bergelut untuk mengukuh walaupun asasnya lebih baik berbanding seminggu lalu.

"Cabaran untuk ringgit seterusnya adalah impak data jualan runcit dan perindustrian China diumumkan esok yang mampu memberi petunjuk kepada ekonomi Malaysia dan seluruh dunia mengenai keadaan ekonomi negara besar itu selepas terpaksa ditutup akibat COVID-19," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, dolar AS meningkat semalam, dipacu oleh kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powel bahawa kadar negatif tidak dijangkakan setakat ini.

Selain itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali berbanding pound Britain yang menyaksikannya meningkat kepada 5.3031/3112 daripada 5.3148/3300 pada Rabu.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0543/0590 daripada 3.0501/0583 semalam, rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0552/0619 daripada 4.0355/0469 dan turun berbanding euro kepada 4.6900/6983 daripada 4.6855/6991 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini