Ringgit ditutup lemah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lemah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih lemah hari ini berikutan permintaan untuk dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat selepas Pengerusi Rizab AS, Jerome Powell cuba meminimumkan prospek kadar negatif negara itu.

Pada 6 jam petang, unit tempatan itu susut kepada 4.3360/3410 berbanding dolar AS daripada 4.3220/3330 yang dicatatkan semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Globa AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit didagangkan lebih seimbang dengan harga minyak mengukuh termasuk jangkaan keluaran dalam negara kasar yang lebih baik bagi suku pertama, walaupun keadaan ini belum ada jaminan akan terus bertahan.

"Ringgit terpaksa berhempas pulas untuk naik, walaupun sebenarnya, mata wang itu berada jauh lebih baik berbanding seminggu lalu," katanya.

Menurut Innes, ujian seterusnya untuk ringgit adalah pengumuman jualan runcit dan data industri China esok, yang boleh memberikan beberapa petunjuk ekonomi untuk Malaysia dan seluruh dunia.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya lebih rendah berbanding dengan sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0547 daripada 3.0501/0583 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 4.0569/0627 daripada 4.0355/0469.

Ringgit juga merosot berbanding euro kepada 4.6859/6931 daripada 4.6855/6991, tetapi bertambah baik berbanding pound British kepada 5.3003/3069 daripada 5.3148/330 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini