Ringgit cecah paras tertinggi lima bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah paras tertinggi lima bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain dan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berada pada paras tertinggi lima bulan ketika ditutup hari ini.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, mengaitkan peningkatan memberangsangkan ini kepada kelemahan dolar AS dan kestabilan harga minyak global.


Mata wang tempatan ditutup pada 4.1930/1960 berbanding dolar AS hari ini daripada 4.2180/2230 pada jam 6 petang semalam.

Ia adalah prestasi terbaik ringgit sejak ditutup pada paras 4.1700/1750 pada 6 Mac.

"Harga minyak mengukuh, dolar pula lemah dan perolehan sebenar AS turun dengan mendadak, menjadikan Sekuriti Kerajaan Malaysia lebih menarik. Selain itu, pergeseran perdagangan antara AS dan China nampaknya berubah menjadi positif.

"Hari ini adalah hari yang terbaik untuk ringgit. Sejujurnya, saya belum pernah melihatnya sebegini baik untuk beberapa ketika," katanya.

Harga minyak mentah global meningkat berikutan penurunan ketara inventori mentah AS dengan pengeluaran pada bulan Mei dilaporkan merosot sebanyak 1.99 juta tong sehari, penurunan bulanan paling teruk sejak Januari 1980.

Harapan agar AS terus membuat perkembangan ke atas pakej rangsangan baharunya, diikuti dengan jangkaan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua yang lebih baik daripada dijangkakan turut membantu melonjakkan keyakinan di pasaran.

Semasa laporan ini ditulis, penanda aras minyak mentah Brent menokok 2.05 peratus kepada AS$45.34 setong sementara minyak mentah West Texas Intermediate menambah 2.21 peratus kepada AS$42.62 setong.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0619/0646 daripada 3.0672/0719 semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9661/9701 daripada 3.9796/9855 pada Selasa.

Unit tempatan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5046/5106 daripada 5.5079/5161 dan naik berbanding euro kepada 4.9709/9760 daripada 4.9747/9810 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini