Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman KDNK


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah pagi ini selepas mencatatkan paras 4.18 semalam.

Ini terutama menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua negara lewat tengah hari ini dan perundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang akan berlangsung esok.

Pada pukul 9.01 pagi, mata wang tempatan itu diniagakan rendah pada 4.1940/2010 daripada 4.1880/1930 ketika ditutup semalam.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran mungkin lengang dan bertahan menjelang perundingan perdagangan antara AS-China dan sekiranya data KDNK domestik negara mencatatkan paras paling rendah, ia akan mempercepatkan lagi permintaan untuk dolar AS.

"Masalahnya juga ialah sama ada data itu boleh dipercayai ataupun tidak kerana seperti biasa, kita berhadapan dengan perbezaan mata unjuran KDNK seperti .2 atau .3 tetapi ramalan individu pula jatuh antara -5.6 dan -13.6 peratus mengikut tinjauan media baru-baru ini.

"Itu menunjukkan ahli ekonomi juga tidak pasti dengan apa yang berlaku," kata beliau kepada BERNAMA

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan data suku kedua KDNK pada pukul 12 tengah hari ini.

Dari sudut positif pula, beliau berkata prestasi pasaran minyak kekal bagus selepas OPEC menyatakan ia tidak akan meningkatkan pengeluaran untuk sementara waktu, yang semestinya memberi petanda baik untuk harga minyak dan unit tempatan.

Harga minyak mentah Brent kekal melepasi AS$45 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain pada 5.4774/4869 daripada 5.4783/4865 pada Khamis dan berbanding euro kepada 4.9519/9614 daripada 4.9552/9628.

Unit tempatan bagaimanapun, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0535/0597 daripada 3.0523/0570 dan menyusut berbanding yen kepada 3.9207/9284 daripada 3.9184/9242 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini