Ringgit meningkat, cecah paras RM4.18 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat, cecah paras RM4.18

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah yang stabil terus mengukuhkan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah akibat penyusutan hasil Perbendaharaan AS.

Pada 6 petang, mata tempatan diniagakan lebih tinggi kepada 4.1880/1930 daripada 4.1900/1950 ketika ditutup Rabu.

Setakat ini, minyak mentah Brent kekal melebihi AS$45 setong walaupun merosot 0.35 peratus kepada AS$45.27 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, menjangkakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tidak akan meningkatkan kuota pengeluaran minyak untuk sementara waktu.

"Mungkin tidak sehingga November 2020 yang menjadi petanda baik kepada harga minyak.

"Saya turut melihat penyusutan harga dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara itu pada September," katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat, pengumuman mengenai keputusan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 yang dijadualkan esok tidak memberi impak kepada prestasi ringgit hari ini.

"KDNK membabitkan angka besar, namun tidak terlalu signifikan akibat pandemik COVID-19 memandangkan kita tahu ia akan menjadi buruk susulan usaha-usaha yang diambil untuk membendung coronavirus.

"Bagi saya, ia semua berkaitan rundingan perdagangan AS-China (pada 15 Ogos) dan meskipun risikonya telah dikurangkan berikutan pendirian AS yang kurang lantang mengenai perdagangan, sesiapapun tidak merasa yakin selagi adanya Presiden AS, Donald Trump di Rumah Putih," katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja kedua-dua negara mengharungi rintangan perdagangan ini, ringgit akan lebih kukuh.

"Saya berpandangan, minggu depan akan menjadi minggu yang positif bagi ringgit," kata Innes.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4783/4865 daripada 5.4675/4745 pada Rabu, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0570 daripada 3.0506/0547 dan turun berbanding euro kepada 4.9552/9628 daripada 4.9300/9375.

Unit tempatan meningkat kepada 3.9184/9242 berbanding yen Jepun daripada 3.9232/9290 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini