Ringgit ditutup tinggi dipacu harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi dipacu harga minyak

KUALA LUMPUR: Ringgit mengetepikan penyusutan pada Isnin apabila ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.1900/1950 berbanding dolar AS daripada paras 4.1930/1980 yang dicatatkan sewaktu dagangan ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata risiko pertikaian perdagangan AS-China yang kian reda selain perkembangan berita COVID-19 yang lebih positif, terbukti membantu melonjakkan harga minyak mentah.

"Berikutan itu, ringgit telah meningkat daripada paras rendah 4.2065 kepada 4.1900 sewaktu ditutup hari ini," katanya kepada Bernama.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras naik 0.89 peratus kepada AS$45.39 setong.

Sementara itu dalam nota berasingan, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi rantau Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata mata wang Asia, termasuk ringgit telah mencatat aliran kenaikan sederhana berbanding dolar AS hari ini, dipacu oleh prestasi ekuiti serantau yang memberangsangkan serta keadaan geopolitik yang lebih reda.


"Dolar AS adalah sekitar 0.10 peratus hingga 0.20 peratus lebih rendah berbanding yuan China, baht Thailand, dolar Singapura, ringgit dan rupiah Indonesia hari ini," katanya.


Menurutnya, aliran kenaikan itu lebih kecil berbanding menjadi permulaan penyusutan bagi dolar AS.


Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya kecuali yen Jepun.


Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4864/4942 daripada 5.4752/4822 pada Isnin, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0546/0591 daripada 3.0515/0558 dan turun berbanding euro kepada 4.9383/9459 daripada 4.9301/9377, sebelum ini.


Berbanding yen, ringgit sebaliknya mengukuh kepada 3.9495/9553 daripada 3.9553/9608.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini