Ringgit cecah paras tertinggi tujuh bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah paras tertinggi tujuh bulan



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila penyusutan unit negara maju itu sebaliknya terus memacu permintaan terhadap mata wang negara sedang pesat membangun dan aset lebih berisiko, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1220/1280 berbanding dolar AS daripada 4.1370/1400 sewaktu ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, dolar AS ternyata kehilangan tarikan berbanding mata wang utama berikutan reaksi pelabur terhadap data ekonomi dicatatkan negara kuasa besar ekonomi dunia berkenaan.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit sepatutnya terus mengukuh susulan faktor-faktor seperti risiko Rizab Persekutuan AS (Fed) yang kini telah reda, ringgit yang lebih rendah murah secara relatif berbanding mata wang rantau ini serta harga minyak yang kembali meningkat.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata pemulihan China, COVID-19 yang terkawal adalah antara perkara yang akan membantu ringgit mengukuh berbanding dolar AS ketika eksport Malaysia ke China terus meningkat secara ketara.

"Sudah pasti, aktiviti pengambilan untung lebih menjadi tumpuan utama dalam dagangan Asia apabila dolar AS/reminbi mencatat peningkatan selepas keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).

"Namun, impaknya hanya sementara apabila peniaga sukar menerima jangkaan bahawa Wall Street tidak melihat keputusan FOMC itu dapat memberi impak ketara," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0398/0454 daripada 3.0433/0459 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 3.9355/9416 daripada 3.9483/9523 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.3528/3614 daripada 5.3669/6729.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.8875/8958 daripada 4.8812/8852 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini