Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot berikutan aktiviti pengambilan untung hari ini disebabkan dolar yang lebih baik susulan permintaan terhadap mata wang selamat itu, kata ahli ekonomi.

Sehingga jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1200/1250 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1100/1150 pada Jumaat lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata faktor luaran boleh menjejaskan mata wang tempatan dengan harga minyak jatuh lagi berikutan kebimbangan mengenai gelombang kedua COVID-19 yang melanda Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom serta mempunyai potensi untuk menjejaskan permintaan terhadap minyak.

Sehingga jam 6.15 petang hari ini, harga minyak mentah Brent merosot 2.04 peratus kepada AS$42.27 setong.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Izuan Ahmad, berkata berterusan dari Jumaat lalu, prestasi ringgit hari ini kekal stabil berbanding dolar AS.

"Pemulihan yang berterusan daripada aktiviti perdagangan luaran Malaysia dengan China turut menyokong unit tempatan, selain keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas empat kali pengurangan pada tahun ini yang memberi implikasi kukuh kepada laluan Malaysia untuk pemulihan ekonomi dan kewangan," katanya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0305/0353 daripada 3.0299/0347 Jumaat lalu, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.2942/3010 daripada 5.3340/3421.

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.8546/8617 daripada 4.8712/8787, bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.9551/9610 daripada 3.9398/9450 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini