Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sentimen bertambah baik yang terus menyokong permintaan.

Pada penutup, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1420/1450 berbanding unit negara maju itu ketika ditutup 4.1430/1490 pada Rabu.

Terdahulu, unit tempatan mencecah paras harian tertinggi pada 4.1330 berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah yang berterusan ekoran kebimbangan pengeluaran dan kemungkinan pengurangan kadar faedah, terus merangsang minat di sebalik pengukuhan dolar AS.

Pasaran dijangka menyaksikan permintaan selanjutnya bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berikutan pelabur menjangkakan hasil yang menggalakkan sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) kembali menurunkan kadar faedah itu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata dolar AS dalam aliran peningkatan menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) pada 10 September ini.

"Pasaran menjangkakan keputusan membabitkan kadar faedah oleh ECB pada minggu depan adalah wajar berikutan inflasi yang rendah dan euro yang mengukuh.

"Ini bermakna tindakan ECB akan menjadikan euro lebih rendah atau pengurangan faedah yang lebih ketara bagi membendung impak COVID-19 kepada zon euro," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0351/0380 daripada 3.0445/0494 pada Rabu dan tinggi berbanding yen kepada 3.8929/8968 daripada 3.9037/9101.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4981/5037 daripada 5.5367/5451 dan menambah berbanding euro kepada 4.8967/9015 daripada 4.9173/9261.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini