Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini sejajar dengan prestasi di kebanyakan pasaran serantau beserta penurunan harga minyak.
Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, bagaimanapun berkata mata wang tempatan terus mengambil kesempatan di atas pengukuhan yuan dan kelemahan dolar AS.
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1380/1430 berbanding dolar AS daripada 4.1320/1400 ketika ditutup pada Jumaat.

"Tiadanya kesan signifikan ke atas bank-bank pusat G-10 susulan daripada campur tangan The People's Bank of China dan sebarang kelemahan akan menyaksikan ringgit akan dibeli memandangkan prospek Joe Biden akan memenangi pilihan raya Presiden AS dan harapan untuk vaksin adalah baik bagi mata wang tempatan," kata beliau kepada Bernama.

Dalam negara pula, Innes berkata pertemuan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ialah untuk memastikan partinya mempunyai jumlah majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan, sekali gus dapat mengurangkan kemelut politik yang membelenggu ringgit.

Sementara itu, ringgit lemah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0541/0591 daripada 3.0474/0542 ketika ditutup Jumaat lepas dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3910/3979 daripada 5.3456/3576.

Mata wang tempatan turut merosot berbanding euro kepada 4.8890/8962 daripada 4.8741/8840 dan lemah berbanding yen kepada 3.9193/9248 daripada 3.9014/9101.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini