Ringgit berbanding dolar AS dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar AS dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, namun diunjurkan kekal stabil memandangkan mata wang negara maju itu dijangka meneruskan kecenderungan menurun.

Dolar AS lemah berikutan minit mesyuarat terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan adalah tidak jelas, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.0850/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0890 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diunjurkan meneruskan aliran meningkat, disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh.
"Prestasi minyak mentah Brent semakin bertambah baik memandangkan harganya bergerak lebih tinggi kepada US$48 setong," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata laporan perkembangan pembangunan vaksin COVID-19 serta kemungkinan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menangguhkan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran mereka tahun depan juga memberi harapan bahawa pemulihan ekonomi global akan kekal giat pada 2021.

Bagaimanapun, pengambilan untung boleh berlaku susulan ringgit meningkat dengan agak ketara, katanya.

"Semua tumpuan akan terarah kepada kelulusan Belanjawan 2021 oleh kalangan Ahli Parlimen hari ini. Jadi, terdapat peluang untuk ringgit mengalami sedikit penurunan berikutan ketidaktentuan mengenai kedudukan undian bagi meluluskan belanjawan itu," katanya.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0537 daripada 3.0408/0454 ketika ditutup pada Rabu dan turun berbanding euro kepada 4.8705/8758 daripada 4.8606/8684.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.9155/9191 daripada 3.9125/9185 semalam dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.4694/4746 daripada 5.4478/4568.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini