Ringgit berbanding dolar AS ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar AS ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, meneruskan kenaikan bagi hari dagangan keempat berturut-turut, didorong oleh sokongan berterusan terhadap unit tempatan dalam keadaan harga minyak mentah global lebih tinggi, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0835/0890 berbanding dolar AS daripada 4.0850/0900 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata ringgit berada dalam corak pegangan, dengan pandangan dari satu sudut, prestasi itu agak mengejutkan memandangkan dolar AS kehilangan daya tarikan sebagai aset selamat dan pada masa sama harga minyak mentah meningkat dengan penanda aras, minyak Brent bergerak kepada AS$50 setong dalam tempoh terdekat.

"Saya berpendapat peniaga mengambil sikap lebih defensif menjelang sambutan Hari Kesyukuran AS dan sudah pasti akan lebih berhati-hati terhadap keuntungan sebelum akhir tahun.

"Bagaimanapun dalam pasaran mata wang, peniaga mengambil langkah defensif sebelum minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan dikeluarkan malam ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari," katanya.

Bagi peringkat domestik, sentimen positif bahawa Belanjawan 2021 dijangka diluluskan oleh Parlimen esok, susulan pengumuman sokongan Barisan Nasional terhadap anggaran perbelanjaan itu, turut menggalakkan permintaan terhadap ringgit hari ini.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0408/0454 daripada 3.0435/0484 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9125/9185 daripada 3.9192/9251.

Ringgit kukuh berbanding pound Britain kepada 5.4478/4568 daripada 5.4580/4663 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.8606/8684 daripada 4.8538/8614.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini